ASP, inspektor dicekup SPRM

SEREMBAN 27 Jan. - Dua pegawai polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta rasuah berjumlah RM3,500 daripada seorang ahli perniagaan semalam.

Mereka yang masing-masing berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan inspektor dari Selangor diberkas malam tadi dan awal pagi tadi di negeri tersebut.

Sumber memberitahu, inspektor berusia 33 tahun itu menghubungi ahli perniagaan terbabit dan berjanji pekerjanya yang ditahan kerana memiliki telefon bimbit curi tidak akan dihadapkan ke mahkamah jika ahli perniagaan itu membayar RM3,500.


Bagaimanapun, ahli perniagaan tersebut bertindak membuat laporan kepada SPRM Negeri Sembilan berhubung perkara itu semalam. 


Berikutan itu, SPRM menahan inspektor terbabit malam tadi. Selepas disoal siasat, dia memberitahu bahawa sebahagian daripada wang tersebut akan diserahkan kepada pegawai atasannya berpangkat ASP.

Susulan itu, SPRM telah memberkas ASP terbabit semasa menerima wang rasuah di sebuah restoran awal pagi tadi. 


Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009 tetapi enggan mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE

Comments

Popular Posts